Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S. Vijaya Rao.

PELABUHAN KLANG – Kadar indeks jenayah kekerasan bagi daerah Klang Utara menurun sebanyak 1.11 peratus untuk tempoh antara Januari hingga Ogos 2024 berbanding tempoh sama bagi 2023.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, jenayah kekerasan menunjuk penurunan dengan 178 kes pada tahun ini, berbanding 180 kes dalam tempoh sama 2023.

“Ini menunjukkan penurunan jenayah kekerasan sebanyak 2 kes,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai Program Ride Santai Hari Malaysia dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Menurut Vijaya, bagaimanapun jenayah harta benda menunjukkan peningkatan 10.48 peratus sebanyak 432 kes pada 2024, berbanding 391 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Ini menunjukkan peningkatan jenayah hartabenda sebanyak 41 kes. Penyumbang utama peningkatan indek jenayah harta benda bagi 2024 iaitu jenayah curi, curi motokar dan curi motosikal.

“Jenayah curi sebanyak 164 kes melibatkan curi kabel, curi besi dan lain-lain curi. Manakala jenayah curi motokar pula sebanyak 40 kes dan curi motosikal sebanyak 99 kes,” katanya.

Beliau iaitu berkata, IPD Klang Utara berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat secara terus ke balai polis berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

“VSP merupakan satu inisiatif baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mewujudkan kolaborasi dan kerjasama strategik mencegah jenayah bersama masyarakat tempatan sebagai mata dan telinga pihak polis.

“Masyarakat kini boleh menyalurkan aduan/maklumat yang dilengkapi dengan elemen multimedia seperti gambar, video dan koordinat gps lokasi kejadian.

“Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) membuat rondaan di kawasan kejiranan bersama membantu pihak polis dalam usaha pencegahan jenayah,” katanya.

Selain itu katanya, statistik kemalangan jalan raya pula menunjukkan peningkatan sebanyak 12.53 peratus iaitu 7,243 kes yang dilaporkan bagi Januari sehingga Ogos 2024 berbanding tempoh sama sebanyak 6,436 kes bagi 2023.

“Ini menunjukkan peningkatan statistik kemalangan jalan raya sebanyak 807 kes,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah kes kemalangan yang dilaporkan, kemalangan maut mencatatkan 46 kes pada 2024, manakala sebanyak 50 kes kemalangan maut pada 2023.

“Dari jumlah kes penglibatan kemalangan sebanyak 50 kes kematian telah dicatatkan pada 2024 dan 52 kes kematian 2023,” katanya.

Katanya, dalam usaha untuk menurunkan kadar jenayah setempat, pihaknya menjalankan Op Bersepadu sebanyak dua kali setiap minggu bermula Jun sehingga Disember 2024.

“Sebanyak 123 tangkapan dan jenayah, 29 kes pula melibatkan tangkapan kes narkotik, manakala sebanyak 29 tangkapan melibatkan lain-lain kes jenayah,” katanya.

Tambahnya, IPD Klang Utara juga turut melaksanakan Op 3 Penjuru di mana melibatkan tiga daerah iaitu Shah Alam, Klang Selatan Dan Klang Utara.

“Sebanyak 82 kes dengan 13 tangkapan, merangkumi pelbagai kesalahan narkotik.

“Untuk kesalahan jenayah pula sebanyak 32 tangkapan telah dibuat terhadap pelbagai kesalahan jenayah,” katanya. – MalaysiaGazette