Kenyataan Pemuda Amanah Nasional berhubung isu GISBH. - Foto: FB Pemuda Amanah Nasional

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa berkaitan digesa meningkatkan pemantauan dan penyeliaan di pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh negara.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Nasional, Asim Abdullah Ainullotfi berkata, ia bagi memastikan kejadian seperti yang dilaporkan melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) tidak berulang.

Dalam masa sama, tambahnya, kerajaan juga perlu mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab di sebalik tuduhan melibatkan GISBH.

Tegas beliau, semua individu yang terlibat dalam kesalahan itu perlu dipastikan dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

“Selain itu, bantuan dan sokongan yang diperlukan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam kes ini juga perlu disediakan termasuk dari segi kaunseling dan rawatan perubatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh GISBH terhadap kanak-kanak seperti yang didedahkan pihak berkuasa.

“Pemuda Amanah Nasional terkejut dan marah dengan pendedahan bahawa kanak-kanak ini telah diajar dan dipaksa untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan melanggar hak asasi manusia.

“Tindakan ini bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi penjagaan tetapi juga mencabuli hak kanak-kanak untuk hidup dalam persekitaran yang selamat dan sihat,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan mangsa penganiayaan, amang seksual dan perbuatan cabul yang dikaitkan dengan GISBH dipercayai diajar untuk meliwat sebelum mereka diliwat.

Ujar beliau, modus operandi itu dikenal pasti berdasarkan risikan dan kenyataan pihak berkaitan dalam Op Global yang dianggotai melibatkan 705 pegawai dangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). – MalaysiaGazette

Isu GISBH: Mangsa dakwa diliwat dan diajar meliwat – KPN

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here