SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 21 kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah kerana menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dalam Operasi Khas Kenderaan Sapu di sekitar Lembah Klang, dari 2 hingga 6 September lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya mendapati kenderaan persendirian dijadikan sebagai Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi di mana pemandu kenderaan pensendirian mengambil pelancong bukan warganegara ke destinasi pelancongan di sekitar Lembah Klang.

“Sindiket ini bukan sahaja mensasarkan destinasi pelancongan termasuk Melaka dan Batu Caves, bahkan operasi mereka lebih tertumpu di beberapa hotel ternama di seluruh negara,” katanya pada sidang media di JPJ Selangor, Padang Jawa, di sini, hari ini.

Menurutnya, Operasi Khas Kenderaan Sapu selama lima hari itu juga mengenal pasti beberapa kesalahan lain termasuk seorang pemandu tidak mempunyai lesen memandu kompeten (CDL) dan seorang lagi mempunyai CDL yang tamat tempoh.

“JPJ telah mengeluarkan 42 notis saman, masing-masing terhadap pemandu dan pemilik kenderaan yang disita.

“Kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 23(2) APJ 1987 di mana jika sesuatu lesen telah diberi berkenaan dengan sesuatu kenderaan motor untuk digunakan bagi sesuatu maksud tertentu.

“Dan kenderaan motor itu pada bila-bila masa dalam tempoh lesen itu berkuat kuasa digunakan bagi suatu maksud lain, orang yang menggunakan kenderaan motor itu atau yang menyebab atau membenarkan penggunaannya melakukan suatu kesalahan,” katanya.

Selain itu, katanya, kesemua yang ditahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM1,000 dan tidak lebih RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi serta terus melaksanakan penguatkuasaan ke atas mana-mana pemilik atau pemandu kenderaan yang didapati salah guna LKM kenderaan persendirian bagi tujuan kenderaan perkhidmatan awam berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“JPJ juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada pemilik atau pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

“Kami sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara seterusnya berada pada tahap yang terbaik,”katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast