Aedy Fadly Ramli

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak berhasrat melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) untuk ‘memukat peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam program himpunan motosikal RXZ Member 6.0 di Terengganu, Sabtu ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, bagaimanapun sekiranya ada dalam kalangan peserta yang melanggar peraturan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“SJR tak ada lagi, buat masa sekarang tiada lagi dalam perancangan kita.

“Program itu sebenarnya dianjurkan Kerajaan Negeri (Terengganu), jadi kita tak kata nak ganggu atau laksanakan apa-apa tindakan SJR buat masa sekarang.

“Apa sahaja kesalahan-kesalahan, kita terpaksa ambil tindakan,” katanya pada sidang media di JPJ Selangor, di sini, hari ini.

Himpunan RXZ Member 6.0 yang mengumpulkan peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus pada Jumaat dan Sabtu ini.

Penganjuran acara sama pada tahun lalu menimbulkan kontroversi apabila banyak motosikal peserta disita akibat ‘dipukat’ dalam SJR dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ atas pelbagai kesalahan.

Menurut Aedy, JPJ tidak pernah mencari kesalahan daripada mana-mana pihak khususnya penunggang motosikal Yamaha RXZ yang akan berhimpun secara besar-besar di Terengganu pada hujung minggu ini.

“JPJ bukan nak cari salah, kita berlandaskan kepada peraturan-peraturan sebab kita nak kena jaga keselamatan orang awam, kita nak jaga semua, jadi kita perlu memastikan bahawa jalan raya itu selamat.

“Saya nak nasihatkan kepada semua peserta yang berhimpun dalam program RXZ supaya mematuhi peraturan-peraturan jalan raya terutamanya kenderaan yang ingin dibawa ke program tersebut.

“Kita telah memberikan nasihat awal dalam perjumpaan kita bersama penganjur, saya harap supaya pengunjung dapat mematuhi segala peraturan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast