Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan pandangan Mohamed Hanipa Maidin berhubung isu melibatkan pemandu e-hailing pekak, Ong Ing Keong adalah pandangan peribadi bukan mewakili pendirian parti.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, parti itu menghormati pandangan peribadi setiap ahli selaras dengan peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Begitupun, ujar beliau, sejajar dengan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law), setiap siasatan kes perlulah dikendalikan oleh pihak berkuasa yang mana Amanah yakin dilakukan secara adil dan telus.

“Amanah menegaskan dasar dan tata kelola Kerajaan Perpaduan adalah di dalam landasan tepat membawa negara ini ke aras lebih progresif dan cemerlang.

“Justeru, keutuhan kerajaan Perpaduan akan sentiasa menjadi agenda utama Amanah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, portal Malaysiakini melaporkan Mohamed Hanipa yang memberi bayangan akan mempertimbang untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya beliau merupakan Presiden Amanah.

Pendirian itu disebabkan kekesalannya dengan sikap kerajaan yang mendakwa keadilan masih sukar dicapai dalam kes Ing Keong yang diserang oleh anggota polis pengiring.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) ketika era Pakatan Harapan (PH) pada 2018 itu berkata, sekiranya menerajui Amanah, beliau tidak akan teragak-agak untuk mendesak mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan.

“Jika saya Presiden Amanah (yang saya tidak berminat dan tidak layak), saya akan mendesak EGM untuk mengundi sama ada untuk kekal atau keluar daripada kerajaan perpaduan. Selesai.

“Jika saya Peguam Negara (yang saya tidak berminat dan tidak layak), saya akan mendakwa pelaku jenayah yang didakwa tanpa takut atau pilih kasih, Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, portal Malaysiakini turut melaporkan penasihat Lawyers for Liberty (LFL), N. Surendran berkata, lebih 100 hari telah berlalu sejak serangan yang melibatkan anggota polis pengiring diraja terhadap Ing Keong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast