Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap pada perbahasan ucaptama pada majlis Muktamar Dewan Pemuda Pas di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

TEMERLOH – Muktamar Dewan Pemuda Pas yang menutup tirainya hari ini meluluskan usul mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya meletakkan jawatan.

Usul yang dibawa perwakilan Pemuda Bahagian Tambun itu rata-ratanya berdasarkan dakwaan berlaku kepincangan pentadbiran yang membawa kepada hala tuju negara.

“Dewan Pemuda Pas kawasan Tambun mahu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan atau diturunkan dengan kadar segera,” demikian menurut usul berkenaan.

Usul itu beralasan negaras memerlukan kepimpinan baharu yang benar-benar kompeten dan mempunyai akauntabiliti  menyelesaikan masalah raykat.

“Sudah cukup dua tahun diberikan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan dasar dan janji yang selama ini mereka laungkan.

“Namun setakat ini, satu persatu janji manis dilanggar. Bukan itu sahaja, kepimpian PMX tidak pernah cuba menjadi kerajaan yang matang dan bertanggungjawab dalam mentadbir,” kata usul berkenaan lagi.

Usul dikemukakan Dewan Pemuda Pas Tambun, Abdul Abidi Mohd Maznan.

Untuk rekod, Tambun adalah kawasan Parliman yang ditandingi oleh Anwar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2022.

Usul berkenaan adalah antara enam usul yang dibentang ke pucuk pimpinan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda Pas turut melaungkan slogan ‘letak jawatan’ selepas usul berkenaan diluluskan.

“Turun, turun, PMX, letak, letak, letak jawatan PMX,” teriak para perwakilan dalam Kompleks Darul Makmur hari ini.  – MalaysiaGazette