KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk menggantung dulu keputusan terdahulu yang mengarahkan supaya memindah milik tanah seluas 106.542 hektar Duta Enclave di sini kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini telah membenarkan permohonan syarikat SESB untuk mendapatkan semula tanah di Jalan Tuanku Abdul Halim (sebelum ini dikenali Jalan Duta) yang menempatkan beberapa kompleks bangunan kerajaan kepada syarikat berkenaan.
Hari ini ketika prosiding, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan penggantungan perintah itu selepas mempertimbangkan kepentingan awam di kawasan berkenaan.
Kata Ahmad Shahrir, kes ini mempunyai pertikaian yang sangat lama dan amat luar biasa namun mahkamah menggunakan budi bicaranya dalam isu ini.
Jelasnya, berdasarkan atas fakta itu penangguhan mesti diberikan sementara menunggu penentuan.
“Keputusan kes ini akan menjadi garis panduan untuk dipertimbangkan dengan menggunakan budi bicara kehakiman pada masa depan.
“Sejauh mana implikasinya hanya sesuai jika penangguhan diberikan sementara menunggu penentuan rayuan,” katanya hari ini.
Beliau juga berkata, tanah seluas 263.272 ekar di Mukim Batu sebenarnya telah menyaksikan pembinaan beberapa kompleks kerajaan, taman kemudahan serta beberapa mercu tanda yang lain.
Jelasnya, bangunan dan kemudahan tersebut pada masa ini menempatkan sejumlah besar pekerja dan sumber manusia, bersama-sama dengan pelbagai jenis aset awam dengan rekod sejarah yang berharga.
Dalam pada itu, Ahmad Shahrir juga tidak menetapkan apa-apa kos dalam keputusan ini.
Pada 8 Ogos lalu, kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya untuk memindah milik tanah berkenaan kepada SESB.
Untuk makluman, pengembalian tanah seluas 106.542 hektar yang dikenali sebagai Duta Enclave kepada pemilik asal SESB yang menempatkan antaranya bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Arkib Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Sebelum ini, Ahmad Shahrir membenarkan permohonan syarikat terbabit menguatkuasakan perintah 2009.
Menerusi keputusan penghakimannya, beliau memerintahkan kerajaan melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan berkuatkuasa bulan lalu.
Keputusan itu sekali gus menyelesaikan pertikaian tanah sivil, antara paling lama di Malaysia sejak merdeka iaitu selama hampir tujuh dekad.
SESB sebelum ini mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2021 yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk mendapatkan semula tanah seluas 106.542 hektar di sini.
Syarikat itu kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap beberapa responden, termasuk Kerajaan Malaysia bagi mendapatkan perintah mandamus, antara lain mengarahkan responden untuk memindahkan hak milik tanah tersebut kepada syarikat itu. – MalaysiaGazette