Mohamed Shahrin Ismail

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) diminta supaya mengeluarkan permit sementara kepada semua peniaga warganegara Malaysia  di kawasan pinggir jalan sekitar Cyberjaya.

Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Selangor, Mohamed Shahrin Ismail berkata, ini kerana kawasan tersebut menjadi tumpuan peniaga kecil yang terdiri dalam kalangan Malayu, Cina dan India untuk mencari rezeki.

Katanya, berdasarkan tinjauan di kawasan tumpuan peniaga disitu terungkap keluhan peniaga yang sering didatangi pihak berkuasa tempatan (PBT) menghalau, menyaman serta menyita barang perniagaan mereka.

“Apa yang dimaklumkan oleh peniaga, mereka sering ke pejabat MPSepang menyelesaikan saman serta mengambil kembali barangan yang disita serta memohon permit sementara bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Maklum balas pegawai menyatakan tiada permit atau lesen dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan PBT bagi kawasan Cyberjaya yang berada didalam perancangan bandar dan mereka akan memastikan ia kosong penjaja kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Shahrin, Putra Bahagian Sepang melihat perkara itu amat menjengkelkan kerana jawapan yang diberikan langsung tidak boleh diterima oleh masyarakat dan komuniti di situ akibat diskriminasi peniaga kecil terutama penduduk tetap.

Malah mereka merasakan seolah dinafikan hak sebagai warganegara Malaysia yang sewajarnya diberikan peluang untuk mencari rezeki atau tambahan kewangan melalui perniagaan kecil bagi menampung kos sara hidup di bandaraya terutamanya di kawasan Cyberjaya.

“Apabila dilihat di kawasan bandaraya lain seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak, Bangi dan beberapa lagi kawasan elit yang mana kepadatan penduduk pelbagai golongan terutama B40,M40 juga T20 Majlis Pembandaran (PBT) di kawasan tersebut ada menyediakan kiosk serbaguna setidaknya mereka mengeluarkan permit sementara bagi menampung permintaan peniaga kecil bagi mengekalkan keseimbangan ekonomi dikawasan tersebut.

“Kita melihat dengan kerjasama pelbagai pihak ia akan memberi keuntungan bersama disamping ekonomi dikawasan tersebut juga akan berkembang dengan aliran tunai yang dijanakan memberi kebaikan kepada semua pihak termasuk peniaga yang menyewa di premis sekitar dan menjadikan kawasan tersebut tumpuan pengunjung dan pelancong baik dalam dan luar negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohamed Shahrin berharap isu peniaga kecil dapat diselesaikan segera dan wakil rakyat perlu turun padang untuk melihat sendiri kawasan tersebut yang berada di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil.

Tambahnya, satu perbincangan secara serius dengan Ahli Majlis Tertinggi MPSepang harus dibuat bagi memutuskan kebenaran permit sementara untuk kawasan Cyberjaya dibenarkan melaksana aktiviti peniagaan demi kebaikan semua pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast