Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (kanan) mesyuarat tergempar berkaitan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bayan Baru dan Batu Maung yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memperbaiki kelemahan dalam Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bayan Baru dan Batu Maung bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang melanda kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, kerajaan negeri sudah diberi taklimat mengenai RTB dan ia akan disusuli dengan proses reka bentuk, permohonan peruntukan serta tender terbuka.

“RTB fasa dua ini bakal memakan belanja besar, tender terbuka yang telus sekali gus mengambil masa yang lama.

“Jadi saya mohon kesabaran semua pihak khususnya penduduk agar pelaksanaan RTB fasa dua ini boleh mengurangkan kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, taklimat berkenaan dilakukan dalam satu mesyuarat tergempar hari ini, yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang Datuk Mohd Nazri Yasmin, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Mengulas lanjut Tze Tzin berkata, menerusi mesyuarat itu juga, kelemahan sedia ada menerusi RTB fasa satu turut dikenalpasti.

Katanya, antara masalah utama RTB fasa satu adalah membabitkan pemindahan utiliti seperti paip Perbadanan Bekalan Air (PBA), kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kabel internet yang kompleks serta mahal.

“Pembinaan ‘culvert’ dan parit besar yang melintas jalan utama juga sangat rumit dan akan menyebabkan kesesakan jalan raya pula.

“Ini adalah dilema yang dihadapi kerajaan negeri dan saya bersetuju dengan penduduk bahawa RTB fasa satu itu ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Kita akan terus meminta kerajaan negeri memperbaiki RTB itu dan memohon kesabaran semua berikutan masalah kompleks yang dihadapi tidak boleh diselesaikan dengan sekelip mata,” katanya. – MalaysiaGazette