Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap pada sidang media berkenaan Perasmian Pra Muktamar Dewan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

TEMERLOH – Pas Sabah dan Sarawak akan diberikan kuasa autonomi sendiri dalam memilih rakan gabungan yang dianggap bersesuaian untuk bekerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, tahun depan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu diambil susulan perubahan landskap politik yang berbeza di Semenanjung Malaysia.

“UMNO juga beri autonomi untuk Sabah, kita tengok Pas sekarang sebahagian daripada kerajaan (di Sabah).

“Pas ada ADUN lantikan, dilantik oleh kerajaan negeri dan kita mendukung kerajaan di sana, tetapi PN (Perikatan Nasional) lain, sebab itu kita ada autonomi sendiri.

“Perlunya kita melebarkan pendekatan dalam NGO (badan bukan kerajaan) sebab ramai golongan profesional dia tidak terus kepada parti tetapi menyumbang kepada politik negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Pas Dewan Pemuda kali ke-65 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, malam tadi.

Dalam sidang media sama, Tuan Ibrahim menjelaskan, pimpinan Pas melihat kepentingan menyerahkan hak mengurus kepada pemimpin parti negeri tersebut berikutan terdapat ahli yang dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Justeru itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas perlu lebih bersikap terbuka kerana kepimpinan negeri di Sabah dan Sarawak lebih faham dan cakna dengan perkembangan politik di kedua-dua negeri terbabit.

“Dalam MN (Muafakat Nasional), Pas kekal dan tiada isu, cuma dalam konteks Sabah, pimpinan negeri lebih tahu keperluan di sana.

“Mungkin satu pendekatan yang sesuai boleh dilakukan di Sabah dalam muafakat politik dan parti akan teliti sebab saya tengok tentang autonomi,” katanya.

Tambah beliau lagi, ada keperluan bagi Pas di Sabah dan Sarawak mendapatkan rakan ‘muafakat politik’ bagi merancang strategi bersesuaian dengan politik setempat.

“Mungkin sampai masanya akan kita lihat bagaimana satu kuasa, mungkin autonomi perlu diberi kepada Sabah, Sarawak merancang, merencana strategi dan pendekatan yang sesuai dengan situasi politik yang ada di sana,” katanya lagi.

UMNO sebelum ini memberikan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah dalam menyusun ahli jawatankuasa badan perhubungan parti di negeri ini seterusnya membincangkan perkara-perkara yang berkepentingan melibatkan parti itu di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette