KUALA LUMPUR – Industri pelancongan di Malaysia berjumlah RM275.8 bilion pada tahun 2023 dengan menyumbang 15.1 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding 13.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Dari segi pertumbuhan, industri pelancongan berkembang lagi sebanyak 10.3 peratus berbanding 26.0 peratus pada tahun 2022 disokong oleh semua aktiviti ekonomi terutamanya perdagangan runcit, perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara seperti spa dan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran pelancongan (MICE) dan perkhidmatan penyediaan makanan & minuman.

Namun, aktiviti ekonomi seperti perkhidmatan penginapan, perkhidmatan kebudayaan, sukan dan rekreasi serta perkhidmatan agensi pengembaraan dan penempahan lain kekal di bawah paras pra-pandemik 2019.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi memberangsangkan industri pelancongan Malaysia pada tahun 2023 dipengaruhi oleh permintaan yang lebih kukuh daripada perbelanjaan pelancongan internal yang terdiri perbelanjaan inbound dan domestik.

Perbelanjaan dalaman mencatatkan RM154.5 billion (2022: RM93.0 bilion), dengan pertumbuhan sebanyak 66.1 peratus pada tahun 2023didorong oleh perbelanjaan pelancongan inbound diikuti oleh perbelanjaan pelancongan domestik.

Perbelanjaan pelancongan inbound (masuk) dan domestik masing-masing menyumbang 49.1 peratus dan 50.9 peratus.

Tambahnya, perbelanjaan pelancongan inbound di Malaysia meningkat dengan kukuh sebanyak 124.3 peratus berjumlah RM75.8 bilion pada tahun 2023, berbanding RM33.8 billion pada tahun sebelumnya.

Perbelanjaan pelancongan domestik berkembang sebanyak 32.9 peratus dengan nilai RM78.7 bilion pada tahun 2023 (2022: RM59.2 bilion).

Dari segi guna tenaga, industri pelancongan menyediakan pekerjaan seramai 3.4 juta orang atau peningkatan sebanyak 4.9 peratus pada tahun 2023 (2022: 3.2 juta).

Pekerjaan dalam industri pelancongan didominasi oleh perdagangan runcit, makanan & minuman, dan perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara.

Oleh itu, pekerjaan dalam sektor pelancongan menyumbang 21.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerjaan di Malaysia.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here