Pemuda maut manakala tunangnya cedera selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori di Kilometer 162.7 Lebuhraya Utara Selatan, Tangkak, malam tadi

TANGKAK – Seorang pemuda maut manakala tunangnya cedera selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori di Kilometer 162.7 Lebuhraya Utara Selatan di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Taloib berkata, kejadian itu berlaku semasa mangsa, 24, membawa tunangnya, 21, pulang dari Kluang ke daerah ini.

“Siasatan mendapati motosikal mangsa mengekori rapat di belakang sebuah lori jenis yang tidak dapat dikenal pasti sebelum melanggar belakang lori berkenaan.

“Motosikal mangsa terbabas atas jalan, mangsa dan tunangnya cedera sebelum dikejarkan ke Hospital Tangkak di sini dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa lelaki meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tangkak.

Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan atau berbahaya.

Pihak polis ujarnya, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Khairul Azmi Ibrahim 011-12445836.- MalaysiaGazette