Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap pada perbahasan ucaptama pada majlis Muktamar Dewan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

TEMERLOH – “Anak muda Pas sanggup turun ke jalan raya seperti kamu (Pakatan Harapan) buat dahulu untuk menjatuhkan kamu bagi menyedarkan rakyat dan merampas kembali kerajaan daripada kamu”.

Itu amaran Dewan Pemuda Pas kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sekiranya rakyat terus dihalang  bersuara menyatakan kebenaran.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, amaran ia sesuai dengan tindakan kepimpinan PH yang ketika menjadi pembangkang sering mengajak rakyat turun ke jalanan untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan ketika itu.

“Wahai sang penguasa, kami ingin memberitahu kamu. Semakin kamu menutup mulut kami untuk bersuara menyatakan kebenaran, semakin tinggi semangat juang kami untuk bangkit melawan kemungkaran, kami tidak rela negara yang tercinta ini dilacurkan oleh nafsu buas kamu yang songsang. Kami rela mati perjuangkan kebenaran sampai beroleh kemenangan!

“Kalau perlu, kalau kamu tidak endahkan suara kami ini, kalau kamu masih bertindak seperti lembu kenyang memekakkan telinga, inilah benda yang pernah kamu buat satu ketika dahulu dan tak mustahil kami akan mengulanginya kembali hari ini jika kamu masih berdegil,” katanya dalam ucaptama Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, hari ini.

Dakwanya, di bawah pemerintahan kerajaan hari ini kebebasan bersuara seolah-olah dihalang apabila individu yang lantang bersuara menentang tindakan-tindakan Kerajaan Madani akan diambil tindakan tegas.

“Ada yang ditahan reman, ada yang dirampas segala gajet dan telefon. Ada juga yang dipakaikan baju oren SPRM, dipanggil wartawan untuk dibuat liputan supaya wajah orang itu memenuhi dada-dada akhbar.

“Sahabat saya Ahli Parlimen Machang (Wan Ahmad Fayhsal) digantung daripada hadir ke sidang Parlimen hanya kerana menyuarakan isu rakyat berkaitan Blackrock dan KWSP.

“Beliau dihukum gantung tanpa diberi ruang untuk membela diri. Mereka ini seperti telah dihukum bersalah walapun belum pernah dibuktikan apa kesalahan mereka. Ini Madani yang zalim.

“Kerajaan Madani semakin menjadi kuku besi, walhal merekalah yang menjadi hero melaungkan tentang kebebasan media, memperjuangkan hak asasi manusia untuk bersuara, turun ke jalan raya, ada yang berguling dan tidur di atas jalan suatu ketika dulu kerana memperjuangkan hak kebebasan bersuara.

“Rupa-rupanya, dulu dia sanggup tidur di jalan raya untuk bersuara, kini setelah diberi kuasa, menjadi sang penguasa yang zalim mengunci mulut rakyat, menangkap mangsa, membalas dendam kesumat yang sekian lama membara,” katanya.

Dalam pada itu, Afnan dengan nada keras mengingatkan pemimpin Kerajaan Perpaduan bahawa mereka tidak akan kekal lama di Putrajaya jika terus bersikap zalim kepada rakyat yang menyuarakan kebenaran.

“Kuasa ini milik Allah. Allah yang memberikannya. Allah jua akan mengambilnya kembali pada bila-bila masa yang Dia kehendaki. Ingat amaran ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast