SK Kampung Maju Jaya di Johor Bahru antara sekolah yang ditutup hari ini selepas terdedah dengan pencemaran bau kimia

JOHOR BAHRU – Tiga sekolah di Johor yang ditutup sejak kelmarin selepas terdedah dengan pencemaran bau kimia masih lagi tidak dibenarkan dibuka hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, ini kerana pencemaran bau masih lagi dapat dikesan sekitar tiga sekolah berkenaan.

“Berdasarkan sumber daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, pencemaran bau kimia masih lagi boleh dihidu di sekolah terbabit.

“Sekolah terlibat masih melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya yang mempunyai 1,024 pelajar dan 64 guru ditutup pada pukul 1 petang sebagai langkah keselamatan.

Penutupan itu selepas seramai 21 murid SK Kampung Maju Jaya mengalami loya, sesak nafas dan pening kepala akibat terdedah dengan pencemaran bau.

Sehari selepas itu, dua buah sekolah swasta iaitu Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah ditutup pula.- MalaysiaGazette