Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap anak saudaranya dalam di Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar

MUAR – Seorang penganggur yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan membunuh ibu bapa dan anak saudaranya sebelum membakar kediaman mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini bulan lalu, sekali lagi dihadapkan ke mahkamah di sini hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap anak saudaranya dalam tragedi yang sama.

Azman Mohamed Nor, 48, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap Norazmina Mohd Razi, 14, dalam tragedi bakar dan bunuh tiga sekeluarga berkenaan.

Tertuduh mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin sebelum dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan denda RM5,000.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Norazmina dengan menggunakan sebatang kayu dalam kejadian itu berlaku antara pukul 1 hingga 3 pagi, di sebuah rumah, Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, 9 Ogos lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebatan.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Nariman bertanyakan tertuduh sama ada dia memahami atau tidak hukuman bagi kesalahan dilakukannya itu.

“Kamu fahamkan hukuman kesalahan ini? Selain penjara, kamu mahu denda atau sebatan,” soalnya sebelum tertuduh memilih penjara dan denda.

Tertuduh yang kelihatan sugul mengangguk faham dan mengakui menyesal atas perbuatan yang sudah dilakukannya itu.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang sedang tidur dikejutkan adiknya, Noradriana Nor Hasyim, 11, memberitahu berlaku kebakaran menyebabkan mereka berdua keluar mencari tertuduh.

Sewaktu di belakang rumah, dua beradik itu terserempak tertuduh yang ketika itu sedang memegang sebatang kayu.

Tertuduh kemudian memukul kepala adik tiri mangsa, Noradriana hingga rebah dan meninggal dunia.

Selepas itu, tertuduh memukul kepala mangsa, namun sempat ditepis menggunakan tangan.

Tertuduh pada mulanya menyangka mangsa pengsan akibat pukulan itu sebelum melarikan diri dan mangsa berlari ke rumah jiran untuk meminta bantuan.

Bertindak atas maklumat, tertuduh ditahan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur selepas lima hari melarikan diri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 20 Ogos lalu, Azman didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh bapanya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, ibunya, Ara Abd Hamid, 76, serta anak saudara Noradriana.

Ketiga-tiga kejadian itu berlaku antara pukul 1 hingga 3 pagi, di sebuah rumah, Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, 9 Ogos lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Dua mangsa iaitu Mohamed Nor dan Ara ditemui rentung manakala Noradriana meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini akibat parah.

Selepas kejadian itu, tertuduh melarikan diri sebelum ditahan ketika merayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.- MalaysiaGazette