Suspek kes kematian bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska), Taman Kelemak Utama, di sini, 6 September lalu akan berdepan tuduhan bunuh di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok.

ALOR GAJAH – Suspek kes kematian bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska), Taman Kelemak Utama, di sini, 6 September lalu akan berdepan tuduhan bunuh di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kertas siasatan kes telah dilengkapkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Menurutnya, ia telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya sebelum mendapat arahan tuduh pengasuh wanita berusia 34 tahun itu esok, tepat selepas tempoh reman tujuh hari pertama tamat.

“Suspek akan dituduh pada jam 9 pagi esok di Mahkamah Alor Gajah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Jika sabit salah hendaklah dihukum mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan dalam kejadian 8 pagi itu, pengasuh Al Fateh menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dilihat membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka bayi itu dengan bantal.

Pengasuh berkenaan sebelum itu menelefon ibu bayi terbabit yang baru lima hari dihantar ke Taska berkenaan memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri.

Sebaik tiba, mangsa merupakan anak sulung pasangan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39 dan Sabrina Hakiem Zaini, 39, yang dinantikan sejak berkahwin 14 tahun tahun lalu sudah dalam keadaan keadaan terkulai, mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.

Susulan itu, polis menahan reman pengasuh wanita berusia 34 tahun itu yang juga ibu kepada tiga anak di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here