Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan pihaknya akan merakam keterangan pengurusan tertinggi rumah amal termasuk Pengarah Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB) dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengesahan lanjut sama ada kesemua mereka akan akan ditahan atau tidak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan maklumat itu berkata, keterangan kesemua individu akan diambil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan syarikat itu terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak termasuk diajar meliwat.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut kes terbabit masih berjalan dan kesemua 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun yang telah diselamatkan semalam menerusi operasi serbuan di Selangor dan Negeri Sembilan kini diletakkan dalam jagaan pihak polis.

“Tahap keselamatan kanak-kanak ini dijamin selamat di bawah pemantauan rapi polis dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Buat masa ini, kanak-kanak ini berada di bawah pemantauan kita (polis) untuk disaring pemeriksaan kesihatan mereka selain membuat dokumentasi.

“Proses berkenaan sudah pasti akan mengambil masa yang lama di antara tujuh sehingga 12 hari kerana jumlah mereka yang diselamatkan dalam serbuan itu terlalu ramai dan harus dilakukan satu persatu mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Oleh demikian, Razarudin meminta sedikit masa untuk membolehkan pihaknya menyelesaikan proses berkenaan terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil bagi memastikan kanak-kanak itu benar-benar selamat dan terlindung.

Mengulas lanjut, Razarudin turut menegaskan polis masih menjalankan dalam pelbagai sudut terhadap GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB) untuk membantu kes dan sudah pasti proses itu tidak akan terhenti di sini.

“Kesemua 171 individu terdiri penjaga, guru agama serta pengerusi kesemua rumah amal yang beroperasi di Hulu Selangor, Klang Utara, Shah Alam, Sepang, Kajang, Petaling Jaya, Subang Jaya ini telah direman oleh polis bagi membantu siasatan lanjut kes ini dan soal siasat masih berjalan ke atas mereka,” uajrnya.

Kesemua suspek itu sedang disiasat di bawah Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu GISBH: Mangsa dakwa diliwat dan diajar meliwat – KPN

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here