Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan tindakan saman Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok terhadap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai tindakan provokasi.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, UMNO sudah pasti akan mengambil pendirian membela Dr Muhamad Akmal berhubung tindakan saman tersebut.

Dalam masa sama, katanya, DAP juga sepatutnya mengawal pemimpin mereka daripada bersikap celupar dan tidak membuat kenyataan sesuka hati sebelum mendesak UMNO mengawal Dr Muhamad Akmal.

Dakwanya, kontroversi berhubung isu pensijilan halal itu disebabkan kesilapan Teresa sendiri yang salah faham berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sehingga membuat kenyataan yang menyinggung perasaan orang Islam.

“Kenyataan Menteri Agama adalah jelas, bila ditanya adakah sijil halal akan diwajibkan kepada semua restoran. Jawapannya ialah ia perlu kajian. Bukan mudah. Banyak agensi terlibat. Apatah lagi tiada undang undang mewajibkan guna sijil halal.

“Menteri Agama baru sahaja kata, perlu kajian tetapi Teresa terus bantah dan buat kenyataan Malaysia akan diketawakan dunia. Dia yang patut diketawakan. Dia mulakan provokasi. Patut DAP tegur Teresa,” katanya dalam catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Kelmarin, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh dilaporkan telah mengeluarkan surat tuntutan ganti rugi RM25 juta Muhamad Akmal berhubung isu pensijilan halal yang dihantar oleh peguamnya, Sankara Nair and Partners.

Sementara itu, dalam reaksinya, Dr. Muhamad Akmal menegaskan, beliau bersedia untuk bersemuka dengan Teresa di mahkamah.

“Ok nyonya. Kita jumpa di mahkamah. No fear no surrender,” kata Dr. Muhamad Akmal ringkas di media sosial. – MalaysiaGazette