Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Sehingga hari ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh masih belum menerima surat tuntutan (LOD) ganti rugi RM25 juta daripada Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal.

“Saya masih menunggu LOD itu,” kata Akmal  ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian Pavilion Melaka Dengan Pameran Malaysia Agriculture dan Agrotourism International Show (MAHA) 2024, di MAEPS Serdang, hari ini.

Mengulas lanjut tindakan oleh Ahli Parlimen Seputeh itu, Akmal berkata, beliau tidak ada masalah dengan tindakan saman itu.

“Bagi saya tiada masalah, RM25 juta itu bukan nilai perjuangan saya untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara saya.

“Jadi, Teresa Kok, see you in court,” ujarnya.

Pada masa, Akmal menolak dakwaan Teresa yang menuduhnya memutarbelitkan kenyataan Naib Presiden DAP itu.

“Saya nak tanya, putar belit yang mana satu? Jadi nyatakan yang mana. Kalau tak boleh (nyatakan), kita jumpa di mahkamah,” tambah beliau lagi.

Semalam,  Teresa memaklumkan beliau telah mengeluarkan LOD ganti rugi RM25 juta kepada Akmal.

Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya, Sankara Nair and Partners, Teresa menuntut Akmal membayar semua kos guaman dan perbelanjaan berkaitan saman tersebut.

Teresa juga mendakwa Akmal memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

“Kami menunggu jawapan anda tanpa berlengah-lengah. Jika pelanggan kami tidak menerima sebarang maklum balas yang memuaskan daripada anda dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan undang-undang tanpa merujuk kepada anda lagi,” bunyi notis itu.

Akmal sebelum ini menempelak tindakan Teresa yang dilaporkan mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban terhadap peniaga.

Menerusi satu hantaran video di Tik Tok sebelum ini, Akmal melabelkan Teresa sebagai ‘nyonya tua’ dan tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here