KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther akan membuat permohonan supaya mahkamah membenarkan dia dijamin selepas didakwa mengedar dadah jenis kanabis.
Peguamnya, Rafique Rashid berkata, permohonan akan dibuat apabila kes tersebut dipindahkan ke mahkamah tinggi kelak.
Jelasnya, permohonan tersebut berasaskan tiga sebab utama, antaranya faktor keselamatan anak guamnya yang sedang memfailkan satu kes yang tidak dinyatakannya.
“Kami mohon Jabatan Peguam Negara (AGC) melihat kes Yusoff ini, adalah penting sekiranya AGC tidak membantah permohonan jaminan kerana keselamatan beliau amat penting,” katanya ketika sidang media.
Dalam masa yang sama, beliau berharap polis dapat menjalankan siasatan telus berhubung laporan yang dibuat Yusoff dan keluarganya sebelum ini.
“Kita harap Polis Diraja Malaysia (PDRM) profesional, telus dan menyiasat dua laporkan polis yang dibuat Yusoff dan keluarganya yang menyatakan dengan jelas penama-penama yang harus disiasat,” tambah beliau.
Terdahulu Rafique berkata, anak guamnya akan ditahan di Penjara Sungai Buloh.
Sebelum ini, peguam bela tertuduh menegaskan Yusoff tidak pernah memiliki dadah dan dua pucuk pistol tiruan yang ditemui polis.
Yusoff hari ini didakwa di Mahkamah Majistret atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram.
Beliau didakwa melakukannya pada 6 September lalu.
Walau bagaimanapun, pertuduhan yang dihadapinya tidak membenarkannya untuknya diikat jamin. – MalaysiaGazette