Bekas pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri, Muhammed Yusoff Rawther dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan selepas Polis menemui dua pucuk pistol dan dadah dalam kenderaan dinaikinya pada minggu lalu. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik  Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther berdepan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali selepas didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram.

Beliau yang dituduh di  Mahkamah Majistret di sini hari ini didakwa melakukan kesalahan itu pukul 10.15 pagi Jumaat lalu di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Namun begitu, Yusoff, 31 dalam kandang tertuduh sempat berkata dirinya tidak bersalah dan telah diperangkap.

“Saya tidak bersalah, saya diperangkap oleh orang yang ada kuasa,” demikian kata-katanya yang tidak boleh direkodkan di mahkamah pada hari ini.

Majistret, S Arunjothi kemudian menetapkan 12 November ini sebagai tarikh laporan analisa dadah daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Terdahulu, prosiding pertuduhan hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman manakala tertuduh diwakili peguam, Rafique Rashid.

Baru-baru ini, media melaporkan Yusoff direman enam hari selepas ditahan polis pada Jumaat lalu.

Polis menemukan ketulan mampat iaitu dadah jenis kanabis dalam kenderaannya.

Turut dilaporkan ditemukan bersamanya dua pucuk pistol tiruan.

Yusoff pada 14 Julai 2021 memfailkan saman mendakwa telah diserang Anwar merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara seksual pada Oktober 2018 iaitu beberapa hari sebelum Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Dakwanya lagi, beliau mengalami trauma fizikal, psikologi dan sosial yang serius akibat kejadian tersebut, dan menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta faedah, kos dan relif lain.

Muhammad Yusoff meletakkan jawatan sebagai pembantu penyelidik Anwar pada 24 Jun 2019.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis jumpa pistol dan ganja, Yusoff Rawther ditahan sejak Jumaat

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here