Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bercakap pada sidang media mengenai isu rumah amal GISB ketika di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2024.

 

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan hanya 159 daripada 171 individu dikenakan perintah reman bagi membantu siasatan berkaitan kes eksploitasi kanak-kanak dari rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan ini dilakukan selepas saringan itu dilakukan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain.

“Tangkapan ada saya sebutkan semalam adalah 171 orang, tetapi saringan telah dibuat dan tindakan reman hanya dikenakan kepada seramai 159 orang.

“Manakala 12 individu lagi berada di bawah umur dan tiada keperluan untuk reman. Ada individu direman di Negeri Sembilan dan Selangor dengan tempoh antara empat hingga tujuh hari,” ujarnya.

Semua individu yang direman masing-masing berusia antara 18 hingga 51 tahun dan ditempatkan di Selangor serta Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan berasingan, Razarudin memaklumkan, satu kertas siasatan telah dibuka di Putrajaya berhubung kes ugutan terhadap seorang wanita berusia 20-an.

“Kita membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan melibatkan seorang wanita diugut lelaki daripada Remaja Pembela Ummah (RPU) supaya menarik balik laporan polis,” jelasnya.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek berusia 39 tahun itu akan dibuat dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Katanya lagi, sejak 2011 sehingga kini, sebanyak 41 laporan polis telah diterima berhubung premis rumah amal dikaitkan dengan syarikat perniagaan berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here