KUALA LUMPUR – Seramai 392 daripada 402 kanak-kanak yang diselamatkan di rumah amal dikaitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) menerusi Ops Global sedang menjalani saringan kesihatan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurutnya, seramai 10 mangsa lagi yang terdiri  kanak-kanak autistik, orang kurang upaya (OKU) dan sakit telah diserahkan di bawah selian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Untuk rekod, pecahan daripada 392 kanak-kanak ia melibatkan 202 orang lelaki dan 190 perempuan. Kita dalam proses pemindahan mangsa ke pusat perlindungan di Bukit Beruntung, Cheras dan Seremban mulai kelmarin.

“Mereka (kanak-kanak OKU dan sakit) ini diletakkan di bawah jagaan JKM. Bagaimanapun, lapan lagi mangsa belum kenal pasti usia mereka dan masih menunggu KKM serta temu bual ke atas penjaga rumah amal terbabit,” ujarnya.

Tambahnya lagi, saringan itu dilakukan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Razarudin turut memaklumkan, saringan ke atas semua mangsa itu dilakukan membabitkan tahap kesihatan mental, fizikal, serta tahap pembesaran kanak-kanak tersebut.

Tambahnya, pihak polis telah menerima 13 laporan dan tujuh kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sejak 2 September lalu.

“Kita juga perlu melihat (sama ada) kanak-kanak yang perlu bersekolah, tetapi tidak mendapat kemudahan sewajarnya kerana ini juga satu kesalahan di bawah Akta Pendidikan 1996.

“Selain itu, kita akan melihat sama ada fasiliti pendidikan di bawah GISBH ini didaftarkan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) atau tidak. Jika pendidikan berunsur agama, (pihak berkuasa agama) negeri akan menentukan status permit, lesen atau kelulusan (operasi),” ujarnya.

Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi ‘Op Global’.

Dalam operasi itu, polis juga telah menahan seramai 171 individu dipercayai kakitangan syarikat berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here