Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) PKR, Amidi Abdul Manan.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai angkuh dengan kenyataan yang mendakwa pimpinan Melayu-Islam dalam kerajaan ‘lemah’.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) PKR, Amidi Abdul Manan berkata, sebaliknya Presiden Pas itu perlu melihat diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Abdul Hadi lupa bahawa beliau terikut dengan kehendak rakan sekutu untuk menderhakai titah Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) bagi menyelesaikan kemelut ‘Parlimen tergantung’ pada 2022.

“Malah beliau juga terus mempertahankan perhubungan politik dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terus-menerus mengkritik Al-Sultan Abdullah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, berhubung kesucian agama Islam, Amidi mempersoal keberadaan Abdul Hadi sewaktu Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peliwat.

“Abdul Hadi juga tidak berdaya dan lemah untuk memberhentikan pencemaran fikrah yang boleh menjerumuskan umat kepada pemikiran khawarij dalam parti beliau sendiri.

“Keangkuhan seorang ulama amat bahaya kepada ummah. Kita ingin melihat keberanian Presiden Pas membetulkan perkara yang sebahagiannya berpunca daripada beliau sebelum dengan angkuh melabel pimpinan lain lemah,” jelasnya.

Semalam, Abdul Hadi mendakwa parti-parti Melayu di dalam Kerajaan Perpaduan tidak berwibawa dan tidak mampu menangani rakan komponen bukan Islam.

Abdul Hadi berkata, ketidakupayaan itu menyebabkan orang bukan Islam ‘naik kepala’ dan menjadi kewajipan untuk parti Islam itu untuk memainkan peranan penting mempertahankannya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here