Anthony Loke Siew

KUALA LUMPUR – Walaupun pemilihan DAP dijadualkan pada Konvensyen Biasa DAP negeri pada 22 September ini namun Setiausaha Agung, Anthony Loke seolah-olah sudah memberi bayangan menyokong Steven Sim Chee Keong menjadi Pengerusi DAP baharu Pulau Pinang.

Media cina melaporkan, Anthony dalam satu temuramah baru-baru ini berkata, Steven yang juga Menteri Sumber Manusia mempunyai kelebihan  termasuk diterima baik pelbagai kaum dan komuniti khasnya di Pulau Pinang.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

Selain itu, Anthony juga mencadangkan nama Ahli Parlimen Tanjong yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying untuk jawatan Setiausaha DAP Pulau Pinang.

Beliau meramalkan kombinasi Sim-Lim ini juga mampu membawa kemenangan kepada DAP khasnya untuk terus menerajui negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun kenyataan Anthony itu  mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti kerana pemilihan itu belum lagi dilaksanakan secara demokratik namun Menteri Pengangkutan itu sudah memberikan ‘bayangan’.

Dalam pada itu, ada juga segelintir berpandangan Hui Ying yang juga adik kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mungkin berpeluang untuk menjawat jawatan Pengerusi Pulau Pinang kali ini.

Lim Hui Ying

Isu ‘perebutan’ kerusi Pengerusi DAP Pulau Pinang menjadi antara tumpuan kali ini kerana pengumuman Ketua Menteri, Chow Kon Yeow baru-baru ini yang tidak akan bertanding pada pertandingan ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027 kali ini.

Untuk makluman, seramai 31 individu akan bertanding pada pemilihan kali termasuklah Sim, Hui Ying, Jagdeep Singh Deo; H’ng Mooi Lye; Zairil Khir Johari, RSN Rayer antaranya akan bersaing untuk menjadi satu daripada 15 ahli jawatankuasa negeri DAP yang baharu.

Dalam pada itu, Kon Yeow dalam memberi respons kepada cadangan Anthony berkata, terpulang kepada delegasi untuk menentukan sama ada Steven boleh menerajui DAP di negeri itu.

Jelas beliau, pastinya Setiausaha Agung DAP itu telah mengambil kira semua aspek sebelum melontarkan cadangan tersebut. -MalaysiaGazette