Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berharap Belanjawan 2025 memberi perhatian yang serius terhadap isu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, kerajaan perlu mengoptimumkan program perumahan mampu milik bagi memastikan ia dijual kepada pemohon yang layak pada harga lebih rendah dari nilai pasaran.

Selain itu, tambah beliau, pihaknya turut berharap program jaminan kredit perumahan dapat diteruskan dan pengecualian duti setem untuk pembeli rumah pertama diperluaskan serta dilanjutkan.

Jelas Dominic, inisiatif itu bagi membantu rakyat yang benar-benar memerlukan mencapai impian mereka iaitu untuk memiliki rumah sendiri.

“Cabaran yang dihadapi oleh golongan tanpa rumah ini termasuk ketidakmampuan untuk mengejar kenaikan harga rumah serta ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan rumah di kawasan berlainan.

“Selain itu, pembeli juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman rumah serta kekurangan sistem bersepadu untuk menyelesaikan isu penawaran dan permintaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Dominic menggesa kerajaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalankan saringan yang lebih ketat terhadap pembeli rumah mampu milik.

Ujarnya, ia bagi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan subsidi dapat memiliki rumah mampu milik yang berkualiti, manakala golongan yang berpendapatan tinggi tidak mengambil kesempatan membeli rumah khusus untuk mereka yang berpendapatan rendah.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu membina sokongan kepada golongan muda untuk membeli rumah di kawasan bandar pada harga mampu milik bagi memastikan kualiti hidup yang baik buat golongan tersebut.

“Malangnya, di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, tanah untuk pembinaan semakin berkurangan dan rumah mampu milik yang baharu dibina semakin jauh dari bandar menyebabkan tidak mendapat sambutan.

“Rumah yang terletak di lokasi strategik pula, harganya terlalu mahal untuk kebanyakan orang,” katanya. – MalaysiaGazette