KUANTAN – Dua kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 2, di sini hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu tuntutan bayaran bagi kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman berjumlah RM8,400.
Tertuduh, Mohd Nizar Zainun, 42 dan Noorhasnida Alias, 43 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Nizar yang merupakan Ketua Seskyen Jaminan Kualiti Bahagian HSE dan Pengurusan Kualiti PAIP dituduh mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran matan palsu dan tidak wujud bagi pembekalan makan dan minum bagi program WSP Daerah Pahang berjumlah RM4,400.00.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Pengurusan PAIP, di sini pada 30 Disember 2021.
Bagi pertuduhan kedua pula, bapa kepada empat orang anak itu dituduh membuat tuntutan palsu tentang suatu butir matan iaitu pembekalan makan minum serta peralatan berkaitan untuk peserta kursus berjumlah RM5,940.00 sedangkan tuntutan sebenar pembekalan tersebut berjumlah RM1,940.00 sahaja.
Dia didakwa melakukan perkara tersebut di Pejabat Pengurusan PAIP, di sini pada 28 Februari 2022.
Sementara itu, Noorhasnida pula dituduh bersubahat dengan Mohd Nizar bagi kedua-dua pertuduhan tersebut dan didakwa melakukan perkara itu pada 21 Disember 2021 dan 2 Mac 2022 di lokasi sama.
Bagi kesalahan terbabit, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Mohd Fadli Mohd Zamri yang memohon kedua-dua tertuduh dikenakan wang jaminan masing-masing sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai bicara dan melapor diri sekurang-kurangnya sebulan sekali di Pejabat SPRM terdekat.
Mohd Nizar yang tidak diwakili peguam merayu agar wang jaminan dikurangkan berikutan mempunyai tanggungan seorang isteri, empat anak dan ibu bapa.
Manakala, Noorhasnida yang diwakili Peguam, Mohd Zali Shaari pula merayu agar mahkamah membenarkan wang jaminan minimum dikenakan ke atas anak guamnya berikutan status tertuduh sebagai ibu tunggal yang masih menanggung ibu dan anaknya yang berusia 17 tahun dan masih bersekolah.
Hakim kemudian membenarkan wang jaminan sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dihadapi mereka berserta syarat tambahan seperti diminta pihak pendakwaan dan menetapkan 15 Oktober depan bagi sebutan semula kes. – MalaysiaGazette