Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bercakap pada sidang media mengenai isu rumah amal GISB ketika di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai 13 kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dipercayai menjadi mangsa liwat di rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) berjaya diselamatkan menerusi Ops Global pada 2 hingga 11 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan mendapati empat mangsa daripada jumlah itu dikenal pasti menerusi serbuan pertama.

“Daripada awalnya, menerusi laporan di Selangor serta Negeri Sembilan, empat mangsa telah diliwat dan dalam temu bual bersama mereka, kita dapati ada sembilan lagi kanak-kanak menjadi mangsa.

“Jadi kita buka siasatan di bawah satu kertas siasatan yang sama. Malah tangkapan turut dilakukan melibatkan enam individu termasuk seorang wanita berhubung dengan kes terbabit,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Razarudin berkata, daripada kesemua suspek yang ditahan, empat lelaki telah disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2007.

Manakala seorang wanita dan lelaki masing-masing disiasat di bawah 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Menerusi siasatan di Negeri Sembilan, seorang wanita telah dituduh di Mahkamah Port Dickson semalam di bawah 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas tuduhan pengabaian, penganiayaan kepada kanak-kanak.

“Sementara empat lagi individu masih dijalankan siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2007 yang mana saya sebutkan terdapat kes liwat di Kuala Pilah dan Selangor,” jelasnya.

Pada Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi Op Global.

Dalam operasi itu, polis telah menahan seramai 171 individu dipercayai kakitangan syarikat berkenaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu GISBH: Mangsa dakwa diliwat dan diajar meliwat – KPN

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here