KUANTAN – Teruja terima keuntungan awal sebanyak RM400 hasil pelaburan sebanyak RM550 daripada pelaburan Skim Pelaburan Cyptocurrency (rednotes) melalui aplikasi Facebook – seorang guru akhirnya rugi RM131,347.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, guru wanita berusia 28 tahun itu telah memuat turun aplikasi pelaburan bernama rednotes itu melalui pautan yang diberikan pada 26 Julai lepas.
Dengan keuntungan awal tersebut, mangsa mula percaya, lalu melabur sehingga RM 109,817.00 dengan 22 kali transaksi ke 11 akaun berbeza.
“Suspek turut meminta mangsa membayar RM20,000 untuk menebuskan keuntungan USD 22,000.00 daripada pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Yahaya, mangsa kemudian melayari aplikasi Facebook selama dua hari sejak 5 September untuk membuat pinjaman sebanyak RM 20,000 bagi tujuan tersebut.
Berikutan itu, beliau berkata, mangsa tertipu dengan sindiket pinjaman tidak wujud yang mengenakan bayaran proses sebanyak RM20,980 yang dibuat dengan 10 kali transaksi ke lima akaun bank berbeza.
“Mangsa mula menyedari ditipu setelah kerugian sebanyak RM131,347.00. Sumber kewangan adalah wang simpanan mangsa, pinjaman keluarga dan rakan-rakan,” katanya lagi.
Justeru, Yahaya menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan sedemikian dan juga tidak mudah terpengaruh dnegan Skim Pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan. – MalaysiaGazette