Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Isu-isu yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang seperti dalam kes yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services & Business Berhad Holdings (GISBH), bukan di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ini kerana, menurut Presiden Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jakim, Datuk Mohd. Ajib Ismail, Jakim bukan sebuah agensi yang berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang.

Sebaliknya, Jakim adalah sebuah agensi agama Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang bertindak menyelaras pengurusan hal ehwal Islam dengan mandat daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Selain itu, jelasnya, Jakim juga bertanggungjawab kepada Kabinet dan melaksanakan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang serta garis panduan sebagai sebuah agensi kerajaan.

Presiden Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jakim, Datuk Mohd. Ajib Ismail.

Bagaimanapun, ujar Mohd. Ajib, Jakim sentiasa bekerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan segala tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.

“PKPU ingin menekankan, dalam konteks isu berkaitan hal ehwal agama Islam, setiap tindakan perlu diambil dengan mematuhi prosedur tertentu, khususnya apabila melibatkan bidang kuasa negeri-negeri.

“Oleh itu, Jakim sentiasa mendapatkan nasihat perundangan dan bekerjasama dengan PDRM serta pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil adalah selari dengan peruntukan undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai kenyataan yang tular di media sosial yang mempersoalkan peranan Jakim dalam isu melibatkan GISBH sehingga menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai mengenai peranan serta fungsi Jakim.

Kelmarin, PDRM membuat serbuan ke atas 20 rumah amal dipercayai milik GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan dan menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa ekploitasi.

Susulan itu, seramai 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian yang dikaitkan dengan GISBH ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Mohd. Ajib berkata, pihaknya yakin di bawah kepimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar, Jakim sentiasa menjalankan tugas secara profesional dan telus tanpa sebarang kepentingan peribadi.

“Kami juga percaya bahawa usaha Jakim untuk mempertahankan akidah, syariah, dan akhlak Islam akan terus diperkukuhkan melalui pendekatan yang bijaksana dan kerjasama erat dengan agensi-agensi yang berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here