Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama orang ramai semasa hadir untuk makan tengah hari sebelum menunaikan solat jumaat ketika di Roti Canai Coffee Village, Kajang. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2024.
KAJANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa agar tidak melengahkan siasatan ke atas pengurusan rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).
Beliau berkata, ini kerana kes eksploitasi kanak-kanak merupakan perkara serius bukan sahaja melibatkan penyalahgunaan kuasa bahkan berselindung di sebalik agama.
“Biar polis buat siasatan, tindakan ikut undang-undang, saya tengok ada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Jakim ada kekuatan penyiasatan, penyelidikan untuk memberi nasihat, jadi dia ada saluran dan jangan lengahkan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Amin, Desa Putra, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 49 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dari pusat perlindungan (GISB) akan ditempatkan di tiga pusat perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Selangor dan Negeri Sembilan.
Menurut Razarudin, kesemua kanak-kanak itu diberikan perintah jagaan sementara mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001.
Daripada jumlah itu, seramai 13 kanak-kanak yang menginap di rumah amal itu yang dikaitkan memiliki rekod pernah diliwat.
Perdana Menteri juga berkata, isu penderaan kanak-kanak termasuk menjadi mangsa eksploitasi itu merupakan isu yang serius bagi umat Islam.
“Kalau benar, biar kaji sebenar, soal akidah umat ini penting, perkara besar,” katanya.
Katanya lagi, beliau menyedari kebimbangan orang ramai tentang kelewatan pihak berkuasa mengambil tindakan, namun beliau badan keselamatan melakukan siasatan dengan baik.
“Ramai yang tanya mengapa kelewatan dan kelengahan dalam ambil tindakan.
“Saya badan-badan ini supaya ambil tindakan segera, siasatan dan pelaporan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here