Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dan kajian terperinci terhadap doktrin fahaman kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) seterusnya membanteras jika ada fahaman dan ajarannya yang menyeleweng.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, jawatankuasa khas itu akan di bawah seliaan pejabatnya yang menjalankan fungsi membantu memberikan sokongan data dan kajian kepada pihak berkuasa termasuk kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Selain itu, jelas beliau, pihaknya juga akan membantu menyediakan rumah perlindungan kepada kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dalam Op Global yang dijalankan pihak polis berkait dengan isu GISBH tersebut.

“Pada masa sama, kita akan membantu memberikan khidmat rundingcara dan kaunseling kepada mangsa yang terlibat.

“Sekali lagi ingin dibuat penegasan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan isu-isu berkaitan akidah umat Islam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, polis menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun menerusi Op Global, selepas disyaki menjadi mangsa eksploitasi di rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menahan reman seramai 171 individu dalam Op Global bagi tujuan siasatan berkaitan GISBH.

Jelas beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah untuk memberikan kerjasama penuh untuk membantu pihak PDRM dalam proses siasatan.

“Selain itu, Jakim turut akan membawa isu ini kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk memutuskan dalam perkara-perkara berkaitan akidah,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here