KUALA LUMPUR – Perbuatan mewarnakan anak-anak ayam tidak termasuk dalam perbuatan menganiaya haiwan, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Menurutnya, ia tidak akan memudaratkan selagi warna dan kaedah pewarnaan tidak mendatangkan bahaya kepada anak-anak ayam tersebut.
“Kami telah membuat pemeriksaan ke atas anak-anak ayam di tempat pameran dan mendapati kesemua anak ayam berada dalam keadaan sihat serta tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau penderitaan.
“Dari sudut kebajikan haiwan, pihak pempamer telah mematuhi semua keperluan kebajikan haiwan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sebelum ini tular di laman media sosial mengenai tuduhan ‘penyeksaan haiwan secara terbuka’ yang berlaku pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).
Hantaran itu telah dimuat naik dalam platform TikTok oleh individu yang dipercayai seorang pengamal veterinar berdaftar, hari ini.
Menurut DVS, pihaknya turut menempatkan pegawai kebajikan haiwan pada MAHA 2024 untuk memantau kebajikan haiwan yang terlibat dalam pameran tersebut. – MalaysiaGazette