ALOR GAJAH – Pengasuh wanita yang didakwa menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini.
Tertuduh Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34, dilihat menangis teresak-esak di kandang tertuduh sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ibu tiga anak berusia dua, enam dan lapan tahun itu kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Nor Afifah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian bayi lelaki, Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri di sebuah Taska di Taman Kelemak Utama antara pukul 7.30 pagi hingga 8.30 pagi 6 September lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri, Ahmad Sazali Omar manakala tertuduh diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.
Mahkamah menetapkan 13 November ini bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Media sebelum ini media melaporkan dalam kejadian 8 pagi itu, pengasuh berkenaan menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup dilihat membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menutup muka bayi itu dengan bantal.
Pengasuh berkenaan sebelum itu menelefon ibu bayi terbabit yang baru lima hari dihantar ke Taska berkenaan memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri.
Sebaik tiba, mangsa merupakan anak sulung pasangan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, dan Sabrina Hakiem Zaini, 39, sudah dalam keadaan keadaan terkulai, mulut berdarah dan muka kebiru-biruan. – MalaysiaGazette