Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang peniaga kerugian wang simpanan RM136,700 setelah diperdaya individu menyamar sebagai wakil daripada Kementerian Komunikasi Digital dan pegawai polis.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa wanita berusia 34 tahun pada 2 September lepas telah menerima panggilan telefon kononnya daripada  Kementerian Komunikasi Digital Putrajaya yang menyatakan ada aduan terhadap nombor telefonnya yang terlibat dengan kegiatan penipuan.

“Panggilan telefon tersebut kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis. Suspek telah mengatakan mangsa juga terlibat dengan aktiviti penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan.

Disebabkan itu, mangsa telah diarahkan memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tujuan mendaftarkan semua maklumat perbankan dan jumlah wang simpanan mangsa.

Mangsa yang patuh kemudian diarahkan untuk memindahkan sebanyak RM136,700 melalui mesin ATM dengan enam pindahan ke dua akaun bank yang diberikan oleh suspek.

Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu dan hadir ke Balai Polis di Daerah Rompin bagi membuat laporan.

Yahaya menasihati orang ramai agar tidak mudah panik dan jangan mudah percaya dengan apa jua dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali.

Masyarakat juga diingatkan agar membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast