Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berucap pada sesi pergulungan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 04 SEPTEMBER 2022.

JERANTUT – Pindaan Perlembagaan Pas yang akan dibentangkan pada Muktamar Tahunannya esok bakal menyentuh  permintaaan orang bukan Islam untuk menyertai parti itu.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, perkara itu akan dibentangkan oleh setiausaha agung parti,  Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Katanya, perkara itu juga akan dimasukkan dalam Ucapan Dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Pindaan perlembagaan itu dibuat beberapa perkaralah, tapi ada mesyuarat tu antara isunya berkenaan dewan harian (mesyuarat pemimpin peringkat tertinggi Pas.

“Perkara pokoknya ialah orang bukan Islam minta untuk jadi ahli biasa, sedangkan Pas hanya orang Islam boleh jadi ahli, sebab tu kita pakai DHPP (Dewan Himpunan Penhyokong Pas),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-70 di Kompleks Imam Syafie’ (KIAS), Kampung Temin di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya.

Mengulas lanjut, Hashim menegaskan, sebarang keputusan yang dicapai berhubung perkara itu di dalam Muktamar Pas nanti adalah muktamad.

Sebelum ini Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik berkata, Pas akan membuat beberapa pindaan terhadap perlembagaan parti itu.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan butiran mengenai pindaan yang akan dilakukan. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here