Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis sedang meluaskan siasatan dana yang disumbangkan ke atas 20 rumah amal dipercayai milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan itu akan dilakukan oleh pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.

Katanya, dana yang disiasat berkaitan rumah amal tersebut termasuk lain-lain perniagaan dan serta kes pemerdagangan orang.

“Kita percaya rumah amal itu turut menerima penajaan lain, selain daripada GISBH. Malah semakan turut mendapati GISBH juga mengendalikan rumah orang tua yang mendapat dana daripada sumber lain.” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Razarudin menafikan dakwaan bahawa pihak polis tidak membenarkan kanak-kanak yang diselamatkan bersolat.

“Mereka dibenarkan berbuat demikian. Mereka bergilir-gilir (bersolat) di bawah pengawasan polis untuk keselamatan mereka.

“Mengarut kalau kita katakan kita tidak benarkan mereka solat. Malah mereka ditempatkan di sini (Pulapol), yang mempunyai masjid,” jelasnya.

Dalam sidang media itu, Razarudin menafikan polis lewat bertindak kerana siasatan kes terbabit sudah dilakukan sejak 2011.

“Tindakan ini (dibuat secara) berterusan (siasatan kes berkaitan GISBH). Kita sentiasa kumpul maklumat berkaitan daripada petugas, jadi tidak timbul isu kita lewat ambil tindakan.

“(Ia) memang dalam tindakan kita, tetapi masa inilah kita dapat berdasarkan keterangan yang ada ketika ini. Kita sudah ambil tindakan, justeru tak perlu ungkit kisah lama,” ujarnya.

Mengulas mengenai keperluan GISBH diharamkan, beliau berkata, sebarang keputusan mengenainya akan dimuktamadkan selepas siasatan menyeluruh dilengkapkan kelak.

“Kita mahu siasat dulu sebelum membuat sebarang keputusan yang akan diangkat kepada kerajaan ataupun mufti di peringkat negeri. Kita perlu lakukan siasatan rapi dan adil dan tidak boleh terus menjuru ke arah ini (pengharaman) terus,” katanya.

Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan di rumah amal dikaitkan GISBH disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi ‘Op Global’.

Razarudin berkata, siasatan mendapati modus operandi dilakukan di rumah amal itu dengan mengajar dan mendidik mangsa cara meliwat, seterusnya mereka diliwat penjaga dan dipaksa melakukan perbuatan itu kepada penghuni lain. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here