KUANTAN – Dua premis klinik perubatan dan pergigian swasta tidak berdaftar diserbu Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) semalam.
Lebih mengejutkan, premis yang telah beroperasi selama dua tahun itu dipercayai dikendalikan tiga wanita merupakan pemilik dan pekerja berusia 20-an yang tidak bertauliah.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas ubat dan peralatan dianggarkan bernilai RM50,000.
“Klinik pergigian itu beroperasi menggunakan rumah milik peribadi manakala klinik perubatan pula berselindung di sebalik premis yang didaftarkan sebagai pusat kecantikan.
“Operasi dijalankan berdasarkan aduan diterima daripada orang awam,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Jelas Rusdi, ketika serbuan, terdapat pelanggan sedang mendapatkan perkhidmatan di kedua-dua premis tersebut.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati premis itu menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan estatik dan pergigian sebagai sebuah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang dikawal dan dikawal selia di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].
“Sedangkan semua klinik perubatan atau pergigian swasta perlu didaftarkan di bawah seksyen 27 akta yang sama manakala subseksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 [Akta 804] yang memperuntukkan larangan menjalankan amalan pergigian oleh seseorang yang tidak didaftarkan di bawah akta itu,” katanya.
Beliau berkata, bagi kedua-dua kesalahan itu, pihak terlibat berdepan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette