Gulam Muszaffar

 

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia disifatkan sebagai buta dan tuli, bagaikan ‘duduk di dalam gua’ hingga begitu naif dengan usaha pemimpin-pemimpin UMNO  mempertahankan kesucian Islam di negara ini.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar berkata, banyak isu melibatkan kepentingan umat Islam dan Melayu ditentang keras ramai pemimpin UMNO tanpa rasa gentar, malah berjaya ditangkis dan diperjuangkan sebelum ini.

“Saya anggap Pemuda PAS sudah tuli, buta dan seperti duduk di dalam gua yang tertutup rapat dalam satu jangka waktu tempoh begitu lama tanpa melihat bagaimana pemimpin-pemimpin UMNO di setiap peringkat mempertahankan kesucian Islam. 

“Isu kalimah Allah di stoking, isu pemilihan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), isu lantikkan wakil bukan Islam di dalam Jawatankuasa Khas Undang Undang Syariah dan terbaharu isu sijil halal.

“Semua isu ini ditentang keras oleh ramai pemimpin UMNO tanpa rasa gentar, segan silu, telah berjaya ditangkis serta diperjuangkan walaupun berada di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencabar UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan jika parti Melayu itu serius dalam mempertahankan kesucian agama Islam.

Menurut Afnan Hamimi, UMNO tidak mendapat penghormatan sewajarnya daripada rakan komponen Kerajaan Perpaduan khususnya DAP hingga pemimpin parti Melayu itu tidak kelihatan mempertahankan Islam.

Menurut Gulam, UMNO sentiasa berdiri teguh mempertahankan kesucian agama sekiranya DAP cuba bermain politik hingga menggugatkan kedudukan agenda Melayu, Islam, bahasa Melayu dan Raja Melayu.

“Kesemua perkara itu telah dipersetujui UMNO sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan bersama parti komponen Pakatan Harapan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Sebaliknya kata Ketua UMNO Bahagian Batu itu, Pas sebenarnya yang bersikap ‘acuh tidak acuh’ dalam isu-isu berkepentingan Melayu dan Islam hingga berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana takut hilang undi daripada bukan Islam.

“Pemuda Pas sebenarnya lebih cemburu, risau dan cemas dengan tindakan Pergerakan Pemuda UMNO yang lebih jauh ke hadapan dalam isu Melayu dan Islam.

“Orang Islam dan Melayu melihat kepimpinan Yang Berhormat Afnan Hamimi seolah-olah tenggelam, amat lembik, tidak boleh diharap malah tiada taring dan sengat politik.

“Malah Pemuda Pas kerap berdiam diri dan menikus dengan parti komponen PN termasuk Gerakan yang lebih cauvinis apabila membantah isu derma tajaan sekolah Cina yang ada berkaitan syarikat arak,” katanya.

Menurutnya, agenda perjuangan, pembangunan dan meningkatkan syiar Islam yang dibawa UMNO bukan bersifat retorik seperti Pas.

“UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahu dan bijak menggunakan kuasa dan peranan politiknya di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Lihat sahaja peruntukkan yang disalurkan sebanyak RM1.9billion tahun lepas untuk pembangunan hal ehwal Islam,” katanya.

“Taska Kemas Pra Tahfiz, Industri Halal, TVET ada DAP berani sanggah dan bantah? Agenda Islam dan Melayu terus dipertingkatkan oleh UMNO selaras dengan objektif penubuhannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here