Antara pegawai penguatkuasa yang ditahan kerana disyakit terlibat modus operandi bawa

KUALA LUMPUR – Seramai 37 pegawai penguat kuasa ditahan kerana disyaki bersubahat dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menggunakan pintu masuk udara negara.

Mereka telah menggunakan modus operandi  ‘laluan kaunter khas’ atau counter setting.

Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 27 lelaki dan 10 wanita yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kesemua suspek ditahan menerusi Op Pump 2.0 di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor semalam.

“Dalam operasi ini, kami telah menemui wang tunai berjumlah lebih RM1 juta iaitu lebih RM500,000 daripada seorang suspek di Pahang, lebih RM200,000 daripada suspek di Selangor, lebih RM170,000 daripada suspek di Johor serta lebih RM100,000 daripada suspek di Negeri Sembilan.

“Wang tunai ini dipercayai diperoleh hasil daripada rasuah yang diterima daripada sindiket yang membawa masuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azam menambah, pihaknya turut menyita pelbagai barangan berharga termasuk jongkong dan dinar emas, pelbagai jam tangan berjenama, kereta, motosikal dan telefon bimbit pelbagai jenama.

Sementara itu, di Putrajaya, sembilan pegawai membabitkan lima lelaki dan empat wanita telah ditahan reman selama lima hari sehingga 17 September ini selepas permohonan SPRM diterima Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

Sembilan pegawai penguat kuasa yang ditahan reman dalam Op Pump 2.0 di Putrajaya kerana disyaki terlibat dalam modus operandi counter setting.

Di Selangor pula, lapan pegawai penguat kuasa lelaki dan tiga pegawai wanita ditahan reman selama lima hari sehingga 17 September selepas permohonan dibuat di hadapan Majistret Nur Syuhada Abdullah di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Seramai 11 anggota pengua tkuasa ditahan dalam Op Pump 2.0 di Shah Alam.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, seramai tujuh pegawai penguat kuasa lelaki direman selama tujuh hari sehingga 19 September 2024 selepas permohonon dibuat SPRM dihadapan Majistret Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban.

Mereka yang ditahan dalam Op Pump 2.0 di Negeri Sembilan.

Manakala di Melaka, tiga pegawai penguat kuasa lelaki dan seorang pegawai wanita direman selama lima hari sehingga 17 September ini selepas permohonan dibenarkan oleh Majistret Nabila Nizam di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Anggota penguatkuasa yang ditahan dalam Op Pump 2.0 di Melaka.

Selain itu, di Kuala Lumpur, Majistret Haneefa Ariffin membenarkan empat penguat kuasa lelaki direman selama enam hari sehingga 18 September ini.

Tiga lagi pegawai penguat kuasa, dua wanita dan seorang lelaki dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka selesai dirakam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here