KUALA LUMPUR – Kelemahan pemantauan institusi agama perlu ditangani dengan segera terutama melibatkan pengendalian dan penjagaan kanak-kanak.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkata, piawaian dan standard perlu diwujudkan di pusat jagaan kanak-kanak yang terlibat bagi memastikan mereka dilindungi.
“Perlu juga ditangani isu kelemahan pemantauan institusi agama kerana semua institusi yang mengendalikan kanak-kanak harus tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak 2001.
“Tiada pengecualian harus diberikan kepada institusi agama atau pendidikan di bawah jabatan agama atau Kementerian Pendidikan. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu melibatkan organisasi masyarakat sivil yang berpengalaman untuk memperkukuhkan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam masa yang sama, parti itu turut mempersoalkan status 41 laporan polis yang dibuat terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di antara 2011 hingga 2024.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang bersubahat mengakibatkan laporan terdahulu mengenainya tidak mempunyai perkembangan terkini.
“Apa status laporan ini? Siasatan terperinci dan tindakan tegas wajib diambil terhadap mereka yang bersubahat mahupun dengan sengaja tidak mengambil tindakan terhadap laporan tersebut,” tambah MUDA.
Menurutnya, pusat amal seperti GISBH sepatutnya didaftarkan dengan JKM dan perlu menjalani penilaian dan pemantauan secara konsisten.
Sementara itu, MUDA turut menggesa kerajaan menyediakan kapasiti perlindungan yang cukup menempatkan seramai 402 kanak-kanak yang terkesan baru-baru ini daripada pusat amal berkenaan.
“Ia termasuk menyediakan bantuan psikologi dan sokongan yang sewajarnya. Namun begitu perlu diambil kira pusat-pusat jagaan JKM sedia ada kini berdepan masalah kekurangan kakitangan dan tempat.
“Selain itu, JKM perlu telus dalam soal keberadaan dan keselamatan kanak-kanak yang telah diselamatkan ini. Kepada siapakah kanak-kanak ini akan diserahkan hak jagaan?, soalnya.
Sebagai rekod, Op Global baru-baru ini menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan GSIBH yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.
Siasatan polis mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal berkenaan adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.- MalaysiaGazette