Azalina Othman Said
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi penekanan serius dan komited terhadap isu melibatkan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak dan sama sekali tidak akan berkompromi dalam hal-hal penindasan terhadap golongan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan anak-anak adalah generasi penerus Malaysia dan kesejahteraan mereka adalah tanggungjawab bersama.

Azalina berkata, beliau amat dukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya kes 402 orang kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual dan eksploitasi di 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Beliau juga telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan mengarahkan JBG untuk menyantuni kanak-kanak dan keluarga mereka yang menjadi mangsa dalam insiden jelik ini dengan menawarkan khidmat ‘pendamping kanak-kanak’ atau ‘legal companion’ kepada mereka.

Kata beliau, walaupun kes ini masih dalam siasatan, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin kepada isu kanak-kanak, Kerajaan Madani telah melaksanakan pelbagai langkah dan inisiatif termasuk pindaan kepada Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak yang telah diluluskan dalam sidang Parlimen lalu.

Jelasnya, pindaan ini adalah bertepatan dan kena pada waktunya kerana ia memperuntukkan kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding, selain meniadakan keperluan keterangan sokongan mandatori.

“Kerajaan Madani memberi penekanan serius dan komited terhadap isu yang melibatkan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak dan tidak akan berkompromi dalam hal-hal penindasan terhadap golongan ini kerana anak-anak inilah generasi penerus Malaysia dan kesejahteraan mereka adalah tanggungjawab kita Bersama,” katanya.

Kelmarin, polis yang melaksanakan ‘Op Global’ menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun dari 20 rumah amal yang didakwa dikendalikan oleh ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH).

Operasi itu dijalankan di sekitar Selangor (18) dan Negeri Sembilan.

Siasatan awal mendapati modus operandi rumah amal itu mengamalkan didikan seksual luar tabii.

Mangsa diajar dan dididik cara meliwat. Kemudian mangsa diliwat oleh penjaga, sebelum dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here