KUALA LUMPUR – Sebanyak 39 lagi rumah amal dikaitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang didakwa mengeksploitasi agama dan kanak-kanak berada di bawah pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut akan diambil ke atas semua rumah amal terbabit.
“Ya, terdapat 39 rumah amal yang dipercayai berada di beberapa negeri dan kita mungkin akan membuat tindakan selanjutnya susulan serbuan ke atas 20 rumah amal sebelum ini,” katanya secara ringkas ketika dihubungi.
Pada Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi ‘Op Global’.
Hasil serbuan itu Razarudin mendedahkan, berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.
Beliau juga berkata, siasatan mendapati modus operandi dilakukan di rumah amal itu dengan mengajar dan mendidik mangsa cara meliwat, seterusnya mereka diliwat penjaga dan dipaksa melakukan perbuatan itu kepada penghuni lain. – MalaysiaGazette