Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis perasmian MAHA 2024 di MAEPS, Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2024.

SERDANG -Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir sikap pihak tertentu yang kerap mengkritik kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk membangunkan negara.

Sedangkan ketika pihak terbabit memegang tampuk kuasa, tiada perubahan yang dilakukan mereka.

Tegas beliau, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang bertanggung jawab.

Ini dibuktikan dengan pelbagai projek yang bakal dilaksanakan bagi kesenangan rakyat.

“Ada projek-projek yang besar yang kita akan perkenalkan. Ini termasuk projek rasaksa penanaman padi fasa pertama yang akan diperkenalkan dalam masa singkat.

“Seluruh projek itu akan menelan belanja RM5 bilion hanya untuk menumpukan perhatian kepada pesawah.

“Itu berbeza dengan orang yang maki hamun, bila diberi kuasa, tidak dia melakukan apa-apa.

“Saya dan saudara Mat Sabu generasi luar, generasi berhempas pulas dalam hidup dan perjuangan.

“Kami yakin kalau mahu buat sesuatu, masa berkuasa, jangan masa berkuasa asyik kumpul harta asyik dengan kemewahan dan kemewahan.

“Kemudian bila bersara, atau tersingkir atau tersungkur, barulah berleter tak berhenti-henti.

“Orang itu salah, orang ini salah, semua salah, dia seorang sahaja betul,” katanya berucap ketika merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Perdana Menteri juga berkata, beliau dan barisan Kabinet pimpinannya sentiasa terbuka dan sedia dikritik, asalkan tidak melemparkan tohmahan negatif dan merendah-rendahkan penjawat awam.

“Kalau hendak kritik saya, kritiklah lah, tapi satu yang saya tekankan dalam ucapan awal tahun, kita nak fokus dari Perdana Menteri ke Menterinya, dari KSNnya, dengan KSU dan seluruh jentera.

“Percayalah, apa pun di luar sana dalam kalangan tukang-tukang jerit, yang penuh dengan marah setiap hari.

“Kononnya Kementerian Pertanian tiada apa-apa, tiada hasil pun, pegawai-pegawai semuanya lembab, malas, kerajaan tak lakukan apa-apa perubahan pun dua tahun ini.

“Tak mengapalah, saya bukan nak jawab hari ini tapi kita bertanggungjawab mengiktiraf jasa dan pengorbanan jentera kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, sebab itu beliau dan Jemaah Menteri mengambil langkah berani untuk memberi pengiktirafan dan memperkenalkan skim persaraan, gaji dan upah yang terbaik dalam sejarah penjawat awam.

“Saudara, fokus bangunkan negara ini, bangkit sebagai satu kekuatan baharu dalam semua bidang dan percaya kalau ada tekad itu dalam kalangan kita.

“Kita akan jadikan Malaysia ini sebagai negara gagah dan hebat di rantau ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast