SERDANG – Kerajaan Perpaduan tidak akan membenarkan amalan kartel import benih dan baja berleluasa dalam Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan monopoli dalam perolehan dua input pertanian itu perlu dihentikan bagi memastikan agenda keselamatan makanan tercapai.
“Amalan benih dan baja tak boleh secara kartel dan monopoli seperti dahulu.
“Sebab itu kita perlu seorang menteri dan KSU (Ketua Setiausaha) yang tegas dan keras menyatakan bahawa amalan kartel lama import baja mesti dan wajib dihentikan,” katanya berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Perdana Menteri juga berkata, amalan kartel dan monopoli boleh dihentikan dengan tekad politik
“Sudah berpuluh tahun kita bicara soal ini, dan sekarang kita ada menteri menyatakan cukuplah
“Sekarang keputusan kita mesti berdasarkan fakta, berdasarkan apa yang terbaik untuk petani, nelayan dan pekebun kecil di negara kita.
“Inilah yang dilakukan oleh Menteri dan Kementerian saya ucapkan terima kasih,” katanya lagi. – MalaysiaGazette