Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh melakukan ‘walkabout’ untuk calon BN bersempena pilihan raya kecil Dun Mahkota di Pasar Malam Bukit Ayam, Kluang, hari ini. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Barisan Nasional (BN) tidak perlu menubuhkan satu jawatankuasa atau pihak khas bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mempunyai pasukan memantau kesalahan melibatkan calon dan parti politik yang terlibat dalam pilihan raya.

“Kita percaya kepada SPR, jadi kalau ada apa-apa salah laku, saluran dia adalah pada SPR, jadi sudah tentulah keputusan SPR kita kena hormat.

“(Kita) tidak ada idea atau cadangan untuk penubuhan (pasukan khas pemantau perjalanan PRK DUN Mahkota daripada BN), kita ada SPR yang ada satu jawatankuasa memantaunya.

“Kalau ada apa-apa, semua orang bukan parti lawan sahaja (buat salah), kalau pengundi rasa ada kesalahan semasa PRK DUN Mahkota boleh berhubung dengan SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan walkabout dan berkempen untuk calon BN di Pasar Malam Bukit Ayam di sini hari ini.

Dr Muhamad Akmal mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini berkenaan Perikatan Nasional (PN) akan menghantar pemerhati PRK DUN Mahkota.

Jelas Tuan Ibrahim, tujuannya untuk memantau perjalanan PRK DUN Mahkota serta kesalahan yang mungkin berlaku melibatkan calon dan parti politik terlibat.

Katanya lagi, tindakan itu dilakukan susulan mengambil iktibar daripada perjalanan pilihan raya terdahulu seperti di DUN Nenggiri dan Pelangai.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal mengalu-alukan cadangan Tuan Ibrahim yang bukan sahaja memantau kemungkinan salah laku pihak BN atau Pakatan Harapan (PH) tetapi juga PN.

Menurutnya, ini bagi memastikan pihak PN juga tidak ‘tergelincir’ dengan melakukan salah laku.

Pihaknya tambah Dr Muhamad Akmal, percaya akan berkempen secara baik dan matang dalam PRK DUN Mahkota. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here