KUALA LUMPUR – Pengarah Eksekutif Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISB) mengakui wujud kes liwat dalam kumpulan itu seperti yang disiasat oleh polis.
Walau bagaimanapun, Datuk Nasiruddin Mohd Ali menyifatkan perlakuan jijik itu bukan melibatkan semua ahlinya.
Nasiruddin menyifatkan isu membabitkan GISB sekarang berlaku terlalu pantas bermula dengan ‘cerita air kaki’ sebelum berlarutan dengan isu liwat dan dakwaan memperdagangkan manusia serta mengeksploitasi kanak-kanak.
“Kemudian berpanjangan liwat, ajar meliwat. Jijik sebenarnya. Saya sangat sedih, saya orang Islam. Anak-anak ditangkap.
“Takpe, saya bukan hendak menyalahkan undang-undang kerana kami ada salah dari segi undang-undang. Tapi tak boleh nasihat ke atau berbincang, Memang sudah ada perbincangan tapi kali ini tangkap semua sekali 400 lebih.
“Dituduh liwat, memang liwat tu ada, satu, dua. Tetapi mengapa dirangkumkan semua. Paling jijik bila dikatakan kanak-kanak ini diajar meliwat,” katanya dalam satu rakaman video menerusi di Facebook.
Jelasnya, kenyataan yang dibuat ini bertujuan untuk meredakan keadaan agar tidak lagi berpanjangan.
Nasiruddin mendakwa dia berasa pelik kerana semua yang berlaku ke atas GISBH tiada perundingan dengan pihak-pihak berkuasa sebelum ini.
“Perundingan tu maksudnya (tanya) kenapa buat macam ni, kenapa jadi macam ni. Kenapa buat kanak-kanak begini, misalnya,” tambahnya.
Akibatnya, kata beliau, GISBH ditohmah dan difitnah hingga keadaan menjadi huru-hara, yang diumpamakan melebihi keadaan di Gaza.
Beliau yang sangat kesal dengan situasi semasa, mencabar pihak-pihak berkuasa supaya mengemukakan bukti jika benar GISBH terlibat memperdagangan dan mengeksploitasi kanak-kanak.
“Kami beroperasi sudah 30 tahun, kalau betul ada bukti tunjukkan,” ujarnya yang kerap mengulangi perkataan jijik dan sedih dengan fitnah isu liwat membabitkan GISBH.
Nasiruddin berkata, GISBH sudah pun mendapat nasihat daripada peguam untuk menjawab isu ini kerana apa yang berlaku sekarang menyebabkan perniagaan dan akaun bank syarikat telah disita pihak berkuasa.
Malah, barang-barang keluarannya yang mendapat pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah dipulangkan balik walaupun produknya sebelum ini dieksport ke Arab Saudi.
“Kita akan lawan kerana (tohmahan) amat dahsyat. Ini termasuk dakwaan minum ‘air berkat’ yang dikaitkan dengan minum air janggut, air bulu, kan menghina namanya.
“Tunjuklah bukti…ni semua tuduhan. Ni kita nak lawan di mahkamah,” katanya sambil berharap isu melibatkan isu GISBH dihentikan kerana syarikat ini ‘tidak menyakitkan’ pihak lain.
Nasiruddin tidak menolak tohmahan yang dilemparkan kepada GISBH semata-mata untuk menutup syarikat tersebut. – MalaysiaGazette