Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berucap pada Perbentangan Usul Muktamar ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2024.

TEMERLOH- Pas meluluskan usul membuka keahlian parti itu kepada penganut bukan Islam sebagai ahli bersekutu.

Bagaimanapun tegas Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, keahlian terbaharu itu tidak meliputi golongan ateis atau tiada agama.

“Syarat keahlian bukan Islam mestilah penganut agama lain yang membawa maksud beragama selain daripada Islam, ia kita sebut bukan beragama Islam (atau) beragama selain islam.

“Ini bermaksud seseorang hendak menjadi ahli bersekutu Pas mesti beragama, sama ada Hindu, Kristian, Buddha dan mesti jadi ahli agama apa saja yang ada dalam dunia ini,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian ketika membentangkan usul pindaan perlembagaan parti di dewan Kompleks Al-Makmur di Kerdau dekat sini hari ini.

Pindaan perlembagan berkaitan Ahli Bersekutu Pas itu mendapat persetujuan dua pertiga daripada 1,324 perwakilan parti yang hadir pada himpunan tersebut.

Sebelum ini, Pas hanya mempunya satu jenis keahlian sahaja iaitu ‘ahli Pas’ seperti yang termaktub dalam Fasal 10 Perlembagaan parti.

”Syarat menjadi Ahli Bersekutu Pas ialah berwarganegara Malaysia, beragama selain Islam, berumur tidak kurang daripada 18 tahun pada 1 Januari dan mengakui menerima serta taat kepada Perlembagaan parti,” katanya.

Jelasnya syarat tersebut tertakluk pada Fasal 11(2) iaitu pindaan 2024 di mana terdapat pertambahan syarat untuk menjadi Ahli Bersekutu Pas.

Kelulusan usul tersebut menjadikan hak Ahli Bersekutu Pas layak untuk memilih dan dipilih seperti memegang jawatan dalam Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal 42 dan 47 dan dilantik untuk memegang jawatan dalam Fasal 41 Perlembagaan Pas.

”Hak Ahli Bersekutu Pas boleh mengundi dalam parti mengikut ketentuan-ketentuan yang terdapat di dalam Perlembagaan Pas serta aturan dan peraturannya.

”Mereka boleh menghadiri perhimpunan-perhimpunan serta rapat-rapat parti dan memberikan pendapat dan pandangan kepada parti,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here