Gambar hiasan

SERDANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) mensasarkan nilai eksport durian segar tempatan dari Malaysia ke China bakal melonjak kepada RM2 bilion menjelang 2030.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengeksportan raja buah itu akan memanfaatkan seramai 63,705 pengusaha durian di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada majlis perasmian MAHA 2024 di MAEPS, Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2024.

“Ini antara kejayaan terbesar MAFS dan sektor agromakanan negara pada tahun ini ialah kelulusan pengeksportan buah durian segar dari Malaysia ke China.

“Keupayaan ini berdasarkan kepada nilai eksport durian ke China sebanyak RM887 juta pada 2022,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, katanya, sumbangan sektor agromakanan dijangka menyumbang sebanyak 10.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tempoh suku tahun pertama 2024.

“Ini signifikan dalam usaha kita meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara di mana secara pecahannya subsektor pertanian menyumbangkan 3.1 peratus, pembuatan (2.2%) dan perkhidmatan (5.6%),” katanya lagi. – MalaysiaGazette