Mohamad Sabu (tiga dari kiri) mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama lukisan mural ketika melawat Pavilian Pulau Pinang selepas merasmikan MAHA 2024 di MAEPS, Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2024.

SERDANG – Sebanyak 36 pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM759 juta berjaya disempurnakan setakat tiga hari pertama Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerjasama strategik melibatkan pelaburan sektor agromakanan, potensi perdagangan, perkongsian teknologi dan konservasi ekosistem.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) positif sasaran RM6 bilion nilai potensi pelaburan dan perdagangan melalui MoU dimeterai dalam MAHA 2024 akan dapat dicapai,” katanya berucap pada Majlis Perasmian MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Mohamad, MAHA 2024 juga menetapkan sasaran untuk menarik 3 juta pengunjung dengan nilai jualan langsung mencapai RM40 juta.

“MAHA kali ini mensasarkan nilai potensi pembiayaan kewangan sebanyak RM600 juta,” katanya.

Mohamad juga berkata, istimewanya MAHA kali ini sempena sambutan acara itu yang ke-100 tahun penganjurannya sejak kali pertama pada 1923.

“Menelusuri legasi 100 tahun penganjuran, ia menunjukkan betapa pentingnya pameran ini dalam perkembangan sektor pertanian negara.

“MAHA telah memainkan peranan penting dalam memajukan teknologi pertanian, memperkenalkan inovasi, dan menggalakkan kerjasama antara pelbagai pihak dalam industri pertanian, khususnya dalam menjayakan misi keterjaminan makanan negara,” katanya.

Selain itu katanya, MAHA 2024 turut menyediakan program menarik sepanjang tiga hari lalu termasuk segmen Trade Days yang memberi fokus kepada komuniti perniagaan dan perdagangan.

“Kita telah memperolehi respons dan penyertaan yang memberansangkan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa menerusi aktiviti pemadanan perniagaan.

“Alhamdulillah kita telah menerima penyertaan dari 17 negara dan 6,500 pengunjung, terdiri daripada pelabur dan penggiat industri agromakanan hadir ke acara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad juga berkata, kelainan acara dalam 100 tahun MAHA 2024 dipamerkan menerusi program MAHA Go Global.

“Pameran perdagangan antarabangsa ini yang turut disertai oleh 15 negara luar antaranya Amerika Syarikat, China, Jepun dan Russia.

“Elemen ease of doing business perlu ditekankan dalam memastikan jalinan kerjasama dan potensi pelaburan yang menguntungkan dapat dikecapi bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia di mata dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast